KUALA LUMPUR 12 April - Ekonomi Malaysia dijangka pulih menjelang akhir tahun ini, demikian menurut Kenanga Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyatakan ia masih mempertahankan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2009 pada 0.6 peratus disebabkan tanda-tanda mengenai arah tuju ekonomi global dan domestik yang masih belum kelihatan.
"Kami mengulangi pendirian bahawa ekonomi Malaysia mungkin akan melalui keadaan yang paling teruk dalam separuh pertama 2009.
"Berikutan eksport dan data output yang suram sejak permulaan tahun ini, kami menganggarkan KDNK mungkin merosot sehingga -2.6 peratus dalam suku pertama tahun ini," kata Kenanga dalam laporan sudut pandangan ekonominya hari ini.
Kenanga menyatakan penurunan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bagi Februari 2009 adalah lebih kecil daripada jangkaan -14.7 peratus tahun ke tahun dan di bawah -19.8 peratus pada Januari.
Penguncupan IPP yang ketara sebahagian besarnya dikaitkan dengan penguncupan terkecil indeks pengeluaran pada Februari bulan ke bulan pada -0.7 peratus sejak kejatuhan berpanjangan bermula Ogos tahun lepas, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment