Showing posts with label Info pelancongan. Show all posts
Showing posts with label Info pelancongan. Show all posts

Sunday, February 21, 2010

Langkawi oh Langkawi

Cuti tahun baru cina baru-baru ini saya pergi ke Kedah mengikut rombongan pengantin perempuan bertanggak di rumah pengantin lelaki. Kami berkumpul di R&R Sungai buloh dan memulakan perjalanan jam 10.30 pagi. Kesesakan jalan dengan ribuan kenderaan yang ingin pulang bercuti sangatlah teruk. Perjalanan mengambil masa 4 jam untuk sampai di R&R Tapah pada jam 2.30 ptg. Limpahan kenderaan menyebabkan ada yang parking di tepi lebuhraya dan terpaksa menapak ke R&R. Perjalanan 8 jam yang sungguh membosankan di tambah pula dengan cuaca panas terik sehingga mencecah 41C. Akhirnya kami sampai di Alor Star pada jam 7 malam.

Oleh kerana pengantin perempuan dan lelaki agak sibuk membeli persiapan ‘last minute’, kami makan malam pada jam 11.30 malam di restoran Thai seafood Alor Malai. Tidak sangka makan malam tersebut disertakan dengan perlawanan bunga api oleh penduduk setempat berlangsung hampir 1 jam. Berbeza dengan pertunjukan bunga api sempena tahun baru, perlawanan bunga api ini lebih lama dan meriah. Terdapat pelbagai jenis corak percikan bunga api yang belum pernah saya saksikan. Apa yang terdetik dihati saya, “kaya betul cina-cina di Kedah ni.”

Selesai majlis perkahwinan, seperti dirancang kami sekeluarga pergi bercuti di Langkawi. Kami bertolak dari Kuala Kedah. Tambang bagi dewasa adalah RM23, manakala kanak-kanak RM17. Oleh kerana tiada pengalaman kami beli sahaja di kaunter tiket, rupa-rupanya, syarikat yang kami beli iaitu Sun Power Ferry memang terkenal dengan kelewatan ferinya. Tiket feri jam 5 ptg tetapi feri tiba lewat 1 jam kemudian, sedangkan feri lain tiba tepat pada waktunya. Perjalanan feri mengambil masa 2 jam dan akhirnya kami sampai di Langkawi pada jam 8 malam.

Kami menetap di Haszlena homestay, rumah teres setingkat 3 bilik di taman Nilam. Tempatnya agak terpencil dengan rumah kosong/terbiar di kiri kanan. Namun begitu terdapat juga beberapa orang penghuni di deretan homestay tersebut. Menurut cerita penduduk tempatan, perumahan Taman Nilam ramai orang Burma, namun tidak pula saya menjumpainya. Dengan bayaran murah RM150 semalam, homestay tersebut sangat berbaloi untuk dilangani. Kelengkapan serba lengkap seperti rumah sendiri lengkap dengan beras, garam, gula, teh, kopi, air mineral 4 botol, cili giling, cili api, belacan, minyak masak, jajan untuk si kecil, buaian, sejadah, telekung, iron, kettle, toaster, dapur, landas cincang, set pinggan mangkuk untuk 12 org, set minuman, sabun basuh, berus kain, ubat nyamuk, aircond di bilik tidur utama, astro dll.

Hari kedua kami mulakan dengan shopping di Idaman Suri yang sememangnya berhampiran dengan homestay kami. Pada umumnya harga pinggan mangkuk berjenama adalah sama di mana-mana kedai pun. Terdapat dua kedai popular untuk membeli pinggan mangkuk berjenama iaitu Idaman Suri dan Haji Ismail Group (HIG).





Beza antara kedua kedai ini adalah:

1.Idaman Suri pemiliknya adalah India Kristian dan HIG melayu walaupun kedua-duanya mempunyai pekerja melayu kesemuanya.

2. HIG mempunyai banyak koleksi pinggan mangkuk berjenama seperti Correlle, Vission, Corning Ware, Vantage (tidak terdapat di Idaman Suri), Queen Anne (tidak terdapat di Idaman Suri) dll tetapi Idaman Suri turut menyediakan pinggan mangkuk cantik berjemana Idaman Suri yang dengar kabarnya dibuat di China.


-Periuk jenama Idaman Suri-


-Bukan Queen Anne UK, tapi buatan Brazil-

3. Sudu dan senduk di Idaman Suri memang lebih cantik tetapi lebih nipis berbanding di HIG pada harga yang sama.

4. HIG mempunyai 3 cawangan, 2 cawangan di Kuah dan satu di Jeti pada harga yang sama di semua cawangan. Sedangkan Idaman Suri hanya satu cawangan sahaja. Jika anda ingin membeli pinggan mangkuk di HIG beli sahaja di Jeti lebih mudah.

5. Jika anda hendak membeli coklat, HIG Kuah lebih mempunyai koleksi coklat yang lebih banyak.



6. Bagi barangan selain pinggan mangkuk dan periuk seperti beg, cadar dll, Idaman Suri lebih mempunyai banyak koleksi yang cantik dan boleh tahan kualitinya namun begitu anda boleh lihat kedua-duanya Idaman Suri mahupun HIG adalah barangan buatan China.

Pengalaman shopping di Langkawi pada saya kurang menyeronokkan. Barangan bebas cukai yang dijual hanya bagi barangan pinggan mangkuk, coklat, rokok (kartun pertama shj), wine (kotak pertama shj) dan perfume (pilihan terhad). Bagi suami saya yang tidak berminat dengan barang-barang tersebut sangat kecewa apabila mencari barangan elektrik dan hanya memenui kedai kecil pada harga yang sama seperti di KL. Saya membayangkan duty tax free zone yang dicanangkan sekurang-kurangnya seperti Mustafa Centre di Singapura. Walaupun kedainya agak buruk, tetapi sebut sahaja apa yang dihajati, anda pasti menemuinya pada harga yang berbaloi. Namun begitu, harga 5 barangan yang disebut terdahulu ianya lebih murah di Langkawi. Barangan-barangan lain seperti beg Polo, kasut, jaket semuanya buatan China, lebih baik shopping di Petaling Street.




-Polo buatan China-

Setelah puas shopping di Idaman Suri dan HIG, kami bertolak ke Padang Mat Sirat. Di sana terdapat Atma Alam (Batik Art Village). Bayang barangan yang dijual seperti batik, kain pelekat, minyak gamat, cenderahati pada harga yang murah.



Hari ketiga kami pergi ke Cable car pada jam 10 pagi, sayangnya perkhidmatan cable car ditutup untuk maintenance kerana overload selama 2 hari ketika cuti tahun baru cina. Sementara menunggu, kami berjalan-jalan sekitar kawasan tersebut. Tidak menghampakan, terdapat rusa, arnab, gajah yang boleh dipegang dan dinaiki. Terdapat juga tasik, bot kayuh, segway,kedai duty free the zone (tetapi lebih mahal sedit berbanding di Kuah) dan restoran dari berbagai negara. Sayangnya setelah 2 jam menunggu sekali lagi kami terpaksa menunnggu apabila angin laju sekitar 70-100km/j. Cable car tidak akan beroperasi sekiranya terdapat angin yang kuat, hujan dan petir.





Oleh kerana sudah bosan, kami berjalan pula di Perdana Quay. Seronok dapat melihat deretan kapal layar biasa dan mewah. Jika bernasib baik, anda mungkin dipelawa ownernya untuk menaiki kapal milik mereka! Di sini juga terdapat kedai The Loaf milik bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamed. Pelbagai aneka roti menggunakan ramuan yang diimport sangat menarik hati. Sayangnya roti di sini hanya dimasak pada waktu pagi sahaja, dah jika anda datang sudah tengahari, jumlah roti yang tinggal tidaklah banyak. Selama ini saya hanya melihat roti-roti sedap di luar Negara tetapi tidak berani mencuba kerana kebanyakan roti dicampur dengan wine dan whey powder supaya moist dan creamy. Dari sini saya boleh nampak cable car telah kembali beroperasi dan kami berpatah balik.









Ternyata kepenatan menunggu sangat berbaloi! Sebelum ini saya pernah menaiki cable car di Genting Highland, tetapi tidak begitu teruja seperti di sini yang lebih curam memanjat gunung. Di puncak Gunung Mat Cincang terdapat jambatan gantung yang boleh berayun apabila angin kuat dan menara yang anda boleh melihat hampir keseluruhan pulau Langkawi. Jika anda seorang yang gayat, perlu berfikir panjang sebelum naik.

Di sebelah petangnya kami pergi ke Tanjung Rhu, berbeza dengan Pantai Cenang pemandanganya lebih indah di kelilingi pulau-pulau. Pantainya juga sangat landai, ketika kami tiba jam 5 petang, air surut hinggakan anda boleh berjalan sehingga ke pulau yang berhampiran! Namun begitu cuaca panas membakar menghalang kami untuk beriadah.



Hari keempat dan hari terakhir saya berada di Langkawi. Kami akhiri dengan last minute shopping barangan seperti coklat, ikan masin, ikan bilis dll. Untuk membeli ikan masin dan ikan bilis, menurut mertua saya murah di Pasir Hitam, di sana terdapat kedai seperti R&R. Pemandangan di Pasir Hitam tidaklah berapa cantik kerana ianya tempat nelayan kecil mendarat. Berbeza dengan pantai Cenang dan Tanjung Rhu, pasirnya sememangnya hitam.



Sebelum saya bercuti di Langkawi, pada pandangan saya, “apalah yang ada dengan Langkawi selain dari shopping pinggan mangkuk, underwater world, makam mahsuri, pantai Cenang, beras terbakar…”. Tetapi apabila menaiki cable car, melawat Perdana Quay memberikan pengalaman yang berbeza. Itupun saya belum lagi ke Porto Malai, air terjun dan pulau-pulau indah di sekeliling Langkawi kerana majoriti ahli rombongan tidak berminat. Dalam hati kecil saya berbisik, padanlah ramai mat salleh di sini. Saya rasa berhutang untuk pergi sekali lagi ke sini, namun pastinya ianya lebih mencabar dan mengujakan!

Saturday, January 30, 2010

Singapore 'not to' guide

Walaupun telah merancang untuk bercuti ke Singapura pada hujung tahun 2009, tetapi saya tidak sempat membuat 'research' yang banyak. Oleh itu saya dan suami redah sahaja ke Singapura. Banyak pengalaman pahit manis yang saya lalui untuk panduan bersama supaya lebih merancang sebelum memulakan perjalanan!



Kami merancang untuk ke Singapura dengan menaiki bas di Larkin. Setiba di Larkin kami tercari-cari parking untuk 3 hari. Oleh kerana tidak mahir dengan jalan di sana, kami terus masuk ke Metro parking yang terletak di belakang stesyen bas Larkin. Hati saya sudah berasa tidak sedap apabila membaca bayaran yang dikenakan adalah per hour. Setelah bertanya dengan orang di sana, ternyata kawasan tersebut bukan parking untuk bermalam. Kami cepat-cepat keluar (lebih kurang 5 atau 10 minit sahaja) namun telah dikenakan bayaran minima RM2!

Rupa-rupanya parking untuk beberapa hari terletak di seberang jalan berhampiran dengan stesyen minyak. Bayarannya ialah RM3 sehari. Dari Larkin ke Singapura tambang basnya hanya RM2.50 menaiki bas Singapore-Johor Express (SJE). Ini adalah merupakan pengalaman pertama saya menaiki bas ke Singapura. Sebelum ini saya pernah datang ke Singapura menaiki kereta berbelas tahun yang lalu. Bas berhenti sebaik sahaja sampai di pejabat kastam Malaysia, ramai orang kelihatan berlari menaiki tangga/escalator. Saya agak binggung, turut berjalan laju. Saya menggunakan gate automatik untuk scan passport. Setelah melepasi gate tersebut kami bergegas turun. Ternyata, kami tidak sepantas orang-orang yang sudah biasa berulang-alik. Akibatnya, kami ketinggalan bas. Mula-mula rasa cemas juga, tapi kami cuba tunggu bas selanjutnya. Nasib baik tiket bas masih disimpan. Jika tidak perlu beli lagi. Terdapat beberapa syarikat bas yang pergi ke Singapura, jadi perlu berhati-hati jangan main boh saja.

Menunggu bas pun mengambil masa juga lebih kurang 20-30 minit. Saya perhatikan syarikat bas Singapura lebih banyak (lebih kurang 10 minit sahaja), tetapi pembayarannya menggunakan kad. Setelah menyeberangi Selat Johor, sekali lagi kami perlu berlari ke kaunter immigration. Kali ini lebih mencabar, ini kerana kaunter khas hanya disediakan untuk warga Singapura. Pada pandangan saya, Singapura dan Malaysia jiran yang terlalu dekat, mengapa tidak disediakan kaunter khas untuk Malaysian. Seperti pengalaman saya ketika memasuki London, terdapat kaunter khas untuk UK dan satu lagi untuk European. Ketika saya memasuki Paris dari Dover, saya hanya perlu lalui sekali sahaja pemeriksaan immigration Paris di Dover. Mudah bukan? Setelah hampir 1 jam berbaris menunggu giliran untuk melalui kaunter immigration, saya kini perlu tunggu lagi bas untuk meneruskan perjalanan ke Bugis street. Secara keseluruhan saya menghabiskan masa kira-kira 2 jam di immigration sahaja.

Sampai sahaja di Bugis street hampir jam 12 tengahari. Saya pun berjalan kaki ke station MRT berhampiran. Di sana terdapat satu restoran mamak (satu-satunya restoran yang menyediakan makanan halal). Walaupun restoran ini kecil sahaja, tetapi menu yang disediakan sangat kretif, seperti roti canai telur cheese, tosai aiskrim dll. Namun sudah sampai di Singapura rugi kalau tidak mencuba murtabak Singapura. Harga sekeping murtabak S$5 (RM12!), tetapi sangat berbaloi! Saiz murtabak ini adalah 4 kali lebih besar dari saiz murtabak biasa. Berbeza dengan murtabak di Malaysia, anda boleh merasa ketulan ayam di dalamnya. Saya hanya mampu menghabiskan separuh sahaja. Separuh lagi saya simpan untuk makan malam. Kemudian saya membeli tiket Singapore Tourist Pass untuk 2 hari bernilai S$26. Wang S$10 akan dipulangkan ketika pemulangan tiket.





Dari MRT Bugis saya ke MRT Aljunied untuk ke hotel budget Fragrance yang berharga S$50 semalam. Saya memang memilih untuk tinggal di Geylang kerana pada sangkaan saya Geylang adalah tempat melayu, tapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya Geylang adalah tempat cina dan pelbagai bangsa asing. Tempatnya lebih kurang seperti Chow Kit di KL. Aduh! Bahkan di sini ini juga boleh kelihatan tempat-tempat 'ayam'. Saya sungguh kurang selesa untuk keluar-masuk ke hotel, kerana seolah-olah di pandang serong, seperti tersalah masuk reban...Namun keadaan hotelnya sangat memuaskan. Walaupun dikategorikan hotel budget, tetapi lengkap dengan cerek letrik dan hair dryer.









Petangnya kami berjalan-jalan di sekitar City hall, Merlion Park, Esplanade. Puas berjalan dan bergambar, terdapat boat tour di sini, tetapi pada saya sayang nak mengeluarkan S$ setakat nak melihat pemandangan kota batu. Saya lebih berminat mengambil pakej boat tour ke pulau-pulau di Malaysia. Setelah penat berjalan di sini, kami pun pulang ke hotel.



Keesokannya, saya menaiki MRT ke Paya Lebar. Di sini barulah saya jumpa ramai melayu. Saya bersarapan lontong berhampiran Malay Village. Lontong di sini dimakan dengan kerisik. Sungguh sedap. Pada saya makanan-makanan di Singapura sungguh sedap. Saya kemudian menaiki MRT ke Harbour Front untuk ke Pulau sentosa. Untuk masuk ke Pulau Sentosa bayaran S$8 dikenakan. Bayaran adalah untuk train ke Pulau Sentosa dan bas untuk mengelilingi Pulau tersebut. Ketika ini universal studio masih dalam pembinaan. Saya hanya ronda-ronda pantai Siloso dan Pahlawan. Melihat keadaan pantai buatan yang sempit tetapi warganya sangat hargai dan enjoy, baru saya menghargai betapa indahnya pantai-pantai di Malaysia yang mula tercemar kerana tiadanya penguatkuasaan. Saya tidak mahu berbelanja lebih untuk masuk 4D studio dll kerana semuanya telah saya alami ketika pergi ke Gold Coast. Tetapi universal studio Singapore nampak unik dan ingin saya catatkan dalam list jalan-jalan akan datang.









Petangnya saya berjalan-jalan sekitar Orchard road dan Mustafa Centre. Permandangan Orchard Road sungguh indah apatah lagi ketika itu seminggu sebelum Chrismas. Sungguh happening! Setelah penat saya singgah makan di restoran Ayam Penyet Ria. Memang sedap. Rasanya jauh lebih sedap berbanding Ayam Penyet Ria di Sunway Lagoon. Nasinya sahaja dari beras yang berkualiti, belum lagi ayam dan sosnya. Yum yum. Kemudian saya pergi ke Mustafa Centre. Rugi jika tidak ke sini, ada pelbagai barangan dijual. Sebut apa sahaja dan dari negara mana, pasti ianya terdapat di Mustafa Centre. Harga barangan terutama elektrik lebih murah berbanding di Malaysia. Tetapi bagi peminat pinggan mangkuk dan barangan rumah, memanglah lebih murah dari KL tetapi tiada yang dapat tandingi harga di Langkawi. Ikutilah pengalaman perjalanan saya ke Langkawi minggu depan!



Wednesday, November 11, 2009

Melancong ke UK dan Paris dengan kurang RM3000! -bahagian 4

Setelah seharian di Manchester, saya bertolak kembali ke rumah rakan di Nottingham. Di rumah rakan saya makan dan mandi sepuasnya, kerana selepas ini saya akan bertolak ke Paris dan terus ke Kuala Lumpur tanpa menginap di mana-mana hotel. Saya akan bertolak ke Paris menaiki bas dan feri pada malam hari. Ini bermakna saya hanya bermalam di dalam bas Eurolines. Perjalanan bermula dari Victoria Station lebih kurang jam 11 malam ke Pelabuhan Dover.




Sementara menunggu jam 11 malam, saya sempat sekali lagi meronda di kota London. Sekali lagi saya membeli tiket Osyter bernilai £7. Namun begitu dengan waktu yang terhad, saya hanya sempat pergi ke Stadium Chelsea dan Harrods juga sekitar Victoria station. Untuk pergi ke Stadium Chelsea, saya menaiki London tube ke Fulham Broadway station. Menariknya di sini anda boleh bergambar dengan pemain-pemain Chelsea! Saya membeli jersey Chelsea kiriman rakan dengan tempahan nama pemain Chelsea atau nama anda sendiri.



Setelah puas bershopping, saya menaiki London tube ke Knightsbridge station untuk ke Harrods. Saya memang teringin untuk melihat pelbagai barangan unik @ sukar ditemui yang terdapat di sana. Harrods memang besar, kerana kepenatan, saya hanya menjelajah sebahagian sahaja. Ternyata barangan yang dijual hanya mampu untuk menjadi tatapan mata. Namun yang menariknya, anda boleh mengambil gambar barangan yang dijual. Nampaknya bukan saya saja yang hanya menjamu mata dan mengambil gambar di Harrods!

Menjelang lewat petang saya berpatah balik ke Victoria station. Saya berjalan kaki pergi ke Buckingham Palace. Bayaran £10 dikenakan untuk melawat istana ini. Namun begitu ketika saya sampai, istana tersebut telah tamat waktu lawatan. Saya tidak melepaskan peluang untuk bergambar sakan di hadapan istana lama tersebut.

Seawal jam 10.30 malam saya sudah mula berbaris bagi memastikan saya dapat memilih tempat duduk yang sesuai. Tepat jam 11 malam bas Eurolines memulakan perjalanan ke pelabuhan Dover. Sampai di pelabuhan Dover bas berhenti rehat hampir 1 jam kerana perlu menunggu giliran pemeriksaan immigrasi Paris. Bagi muslim/muslimat jangan terperanjat kerana pihak immigrasi Paris menggunakan anjing pengesan untuk memeriksa anda. Anjing tersebut akan menghidu2 kaki anda dan adakalanya memanjat kaki anda. Pastikan anda membawa seluar extra! Selesai diperiksa anda akan menaiki feri untuk menyeberangi selat Inggeris. Saya cadangkan anda memakan pil mabuk kerana keadaan laut tidak boleh dijangka. Kadangkala perjalanan pergi okay tetapi perjalanan kembali sangat bergelora. Saya pernah menaik kapal menyeberangi laut china selatan, tetapi ombak di sini lebih hebat.



Setiba di Paris, bas akan berhenti berhampiran station keretapi Gallieni. Ketika saya tiba baru jam 5 pagi. Saya perlu menunggu jam 6 pagi dan membeli tiket satu hari yang bernilai 7 euro. Saya cadangkan anda mendapatkan peta perjalanan sebelum meninggalkan station ini kerana adalah amat sukar mendapatkan informasi dari orang ramai yang tidak berbahasa inggeris.

Untuk memahami jaringan keretapinya lebih mudah berbanding jaringan underground kota london! Anda perlu mengetahui kawasan-kawasan bersejarah yang hendak dilawati bagi memudahkan perjalanan. Kota Paris adalah lebih sejuk berbanding kota London. Ketika saya berada di sana, suhu adalah sekitar 0C. Dengan keadaan yang sangat sejuk itu, adalah lebih selesa berjalan dengan menggunakan perkhidmatan keretapi bawah tanah.



Apabila tiba di Eiffel Tower, berhati-hati jika anda dihampiri oleh orang-orang Bosnia dll yang bertanya apakah anda berbahasa Inggeris. Anda perlu berpura-pura tidak mengetahuinya, kerana jika tidak mereka akan mengemis dan menghambat anda selagi anda tidak menghulurkan wang. Pada saya tidak bermakna mengelilingi kota Paris jika tidak menaiki menara yang terkenal itu. Walaupun agak mahal bayaran yang dikenakan kira-kira 13 euro seorang, namun pengalamannya adalah berbaloi. Anda dapat melihat keseluruhan kota Paris dari sini. Suhu sejuk dan angin yang bertiup kencang boleh membuatkan anda menggigil teruk di sini!

Setelah seharian mengelilingi kota Paris, kaki saya rasa seperti hendak tercabut kerana keletihan. Walaupun seharian tidak mandi, tidaklah menjadi masalah di sini. Suhu yang sejuk akan membuatkan anda berfikir untuk mandi! Saya menaiki bas sebelah malam ke london untuk perjalanan pulang ke Malaysia. Sekali lagi saya bermalam di dalam bas. Walaupun tidur di dalam bas tidak selesa seperti di dalam keretapi, tetapi percayalah ianya lebih selesa dari tidur dalam bas di Malaysia. Ini kerana keadaan basnya yang lebih selesa serta pemandunya yang lebih berdisiplin membuatkan anda boleh tidur dengan rasa selamat.


Friday, June 19, 2009

Melancong ke UK dan Paris dengan kurang RM3000! -bahagian 3

Perjalanan seterusnya adalah ke Manchester. Dari Nottingham, saya menaiki train East Midlands untuk ke Manchester. Perjalanan yang memakan masa 1 jam lebih menaiki bas tetapi memakan masa 2 jam dengan menaiki train dengan tambang 18 pound pergi balik. Tambangnya agak mahal kerana saya membeli tiket tersebut sehari sebelum perjalanan.


-Midlands train-


-Pemandangan ternakan biri-biri semasa perjalanan-



Di sini, adalah sesuai untuk bershopping, barangan yang jauh lebih murah dari London. Sebagai contoh barangan Body Shop rata-rata berharga 5 ke 6 pound di London tetapi di sini hanya berharga 2 ke 3 pound. Memandangkan di UK kos perubatan ditanggung oleh kerajaan, barangan seperti pil vitamin adalah sangat murah dan boleh didapati di PoundLand yang menawarkan barangan pada harga 1 pound. Pada penggemar coklat, inilah syurganya. Banyak coklat-coklat berjenama saiz besar yang dijual pada harga hampir RM10 atau belas ringgit di Malaysia boleh anda dapati pada harga RM5 di sini! Rasa coklat cadbury juga lebih sedap berbanding buatan Malaysia maupun buatan Australia.

Selain dari bershopping coklat, barang-barang 1 pound, saya juga bershopping baju dan kasut. Tempat murah untuk mendapatkan pakaian pada harga yang murah dan berkualiti ialah di SportsDirect.com. Terdapat outlet di Nottingham dan di Manchester. Pakaian barbie untuk kanak-kanak boleh di dapati semurah 2 pound! Baju t-shirt dewasa berjenama pada harga 5 pound.




-Shopping time-

Tidak lengkap perjalanan jika tidak singgah di stadium bola ternama seperti Manchester United dan Manchester City. Walaupun saya tiba sudah lewat dan stadiumnya telah ditutup tetapi masih boleh mengelilingi stadium dan dapat melalui laluan Director yang esklusif. Berbanding London dan Nottingham, orang melayu sangat mudah ditemui di sini.





Saya juga berkesempatan singgah di Trafford Centre berhampiran dengan stadium MU, sebuah shopping complex yang sangat klasik, besar dan ekslusif. Seronok melihat keindahan senibina di sini. Rata-rata harga di sini agak mahal. Shopping complex ini dilengkapi hotel mewah dan juga pertama kalinya saya menemui multipurpose praying room. Di dalam bilik praying room ini terdapat kemudahan untuk mengambil wuduk. Walaubagaimanapun dengan keadaan bercampur lelaki dan perempuan, saya lebih selesa mengambil wuduk di tandas sahaja. Berhati-hati solat di sini, kerana ada pelbagai lambang agama di dalamnya. Ketika saya bersolat, saya tidak perasan saya bersolat betul-betul di hadapan lambang salib!

Saya kembali ke railway station untuk pulang ke rumah rakan di Nottingham. Keadaan cuaca di Manchester lebih sejuk berbanding London. Kesejukan malam sangat menusuk, ditambah pula dengan angin dingin yang kencang bertiup. Saya terpaksa berlindung di kedai kopi kerana tidak tahan kesejukan di luar sambil meminum kopi panas. Terperanjat rupa-rupanya ramai juga mat minah saleh yang turut masuk sambil berkata..."errr freezing..."

Thursday, June 18, 2009

Melancong ke UK dan Paris dengan kurang RM3000! -bahagian 2

Perjalanan dari London ke Nottingham menaiki bas National Express dengan tambang £20 pergi-balik, memakan masa 3 jam itu tidak terasa oleh kerana terlalu penat meronda kota london ditambah pula 'jetlack' yang belum hilang, saya terlena mujur tidak terbabas! Dari Victoria Station saya bertolak ke Nottingham pada pukul 9 malam dan tiba di sana pada pukul 12 malam. Ketibaan kami dijemput oleh kenalan yang tinggal di situ. Alhamdulillah banyak perbelanjaan dapat dikurangkan apabila ada kenalan.





Sungguh lega dapat menginap di rumah rakan yang menuntut di sini. Dapatlah memakan juadah tanpa rasa was-was lagi. Menurut rakan saya, sepenjang beliau di UK, beliau hanya memakan ayam. Ini kerana ikan segar yang terdapat di sana adalah spesis ikan besar seperti kod dan tuna yang tidak sesuai dengan masakan ala Malaysia. Ikan seperti kembung, selar yang biasa terdapat di sini adalah dalam bentuk sejuk beku yang tidak lagi segar. Daging segar pula adalah daging kambing biri-biri yang tidak digemari beliau. Rakan saya amat membantu dan amat memahami keperluan saya sepanjang saya berada di sana. Beliau akan bekalkan saya bekalan yang mudah untuk dibawa berjalan kerana faham kesukaran mencari makanan halal.

Nottingham adalah kampung kepada lagenda Robin Hood. Di sini terdapat taman yang dibina khas untuk memperingati beliau. Sepanjang di sini saya dibawa rakan melawat Nottingham Castle Museum, Wollaton Hall dan University of Nottingham tempat beliau belajar.


-Robin Hood-


-Perkampungan Robin Hood-


-Bandar Nottingham-


-Rumah kenalan-


-Universiti Nottingham-


-Wollaton Hall-

Monday, June 15, 2009

Melancong ke UK dan Paris dengan kurang RM3000!

Pada pertengahan bulan Mac 2009 lepas saya pergi melancong ke UK dan Paris. Kata orang untuk pergi melancong ke sana memerlukan belanja sekurang-kurangnya RM10K. Tetapi saya tidak. Bagaimana?


Pertengahan bulan Mac merupakan musim penghujung salji. Walaupun sudah tidak kelihatan salji lagi, namun suhu sejuk sekitar 5-10C sungguh menusuk ke tulang terutama ketika angin bertiup kencang. Oleh kerana pada anggaran saya musim salji sudah berakhir saya tidak membuat sebarang persiapan untuk suhu yang sejuk itu. Akibatnya, hidung saya kerap berdarah terutama ketika berada di kota Paris yang jauh lebih sejuk.

Saya hanya berbelanja RM3000 sepanjang 7 hari perjalanan. Sepanjang di sana saya sempat mengelilingi kota London, Nottingham, Manchester dan Paris. Saya pergi ke kota London dengan menaiki penerbangan Airasia pada harga promosi RM499 satu hala. Setelah dicampur dengan airport tax dan insurans, jumlahnya hanya RM1500 dua hala. Kapal terbang Airasia tidaklah mengecewakan. Ruang tempat duduk yang luas amat selesa untuk penerbangan selama 14jam tersebut.



Untuk pergi melancong ke UK, saya nasihatkan anda supaya merancang perjalanan anda dengan teliti dan membuat tempahan awal secara online(tiket bas/keretapi dll) kerana ianya lebih murah berbanding dengan membeli tiket pada hari perjalanan ('on the spot'). Perjalanan dari Stansted Airport ke London, London ke Nottingham (rumah rakan) dan London ke Paris telah saya tempah sejak saya masih berada di Malaysia. Saya cetak 'confirmation email' untuk di bawa sebagai bukti pembelian. Sesetengah bas/train boleh menggunakan 'print out email' sebagai tiket tetapi ada yang perlu ditukar dengan tiket di kaunter sebelum menaiki kenderaan. Oleh itu anda perlu bertanya di kaunter sebelum menaiki bas/train.

Saya sampai di Stansted pada jam 10.30 malam. Selesai semua urusan imigration dan pengambilan beg, jam telah menunjukkan pukul 11.30 malam. Pada malam itu kami bermalam di lapangan terbang Stansted. Bermalam di sini walaupun agak janggal bagi wanita muslim tetapi lebih selamat berbanding tidur di Puduraya. Ramai mat/minah saleh yang turut tidur di sini. Terdapat banyak maklumat berkaitan tidur di airport yang boleh didapati dari www.sleepinginairports.net, www.sleepinginairports.net/tips.htm, www.sleepinginairports.com/airports.htm.



Tiada kemudahan surau di airport Stansted walaupun pada websitenya ada menyenaraikan praying room. Saya mencari ruang yang tidak begitu sibuk untuk bersolat. Terdapat kemudahan shower room, tetapi bilik ini berkunci. Seawal pukul 8 pagi saya menunggu Easy bus (bas tambang murah di London). Tambang rendah dari £2 ke kota London (Baker Street) boleh didapati secara online menerusi http://www.easybus.co.uk/london-stansted. Perjalanan mengambil masa selama 1jam 15 minit. Setiba di Baker Street, kami terus mencari ke kedai runcit untuk mencari oyster card daily pass untuk tambang murah £7 untuk mengelilingi kota London dengan menaiki london tube ataupun bas pada zon 1 dan 2 dalam masa satu hari. https://oyster.tfl.gov.uk/oyster/entry.do. Peta jaringan london tube dan jalan raya sekitar london ini sangat berguna dan mudah difahami. http://www.tourstolondon.co.uk/london-underground-map.gif.

Di Baker Street terdapat Madame Tussauds, namun saya hanya mengambil gambar di luar bangunan tersebut. Mungkin saya rasa tidak berbaloi untuk berbelanja £22.99 hanya untuk bergambar dengan 'orang lilin'. Untuk menyimpan bagasi anda, terdapat banyak tempat penyimpanan berbayar pada kadar harga sekitar £8 satu hari di stesyen-stesyen yang besar. Sila rujuk http://www.left-baggage.co.uk/ untuk lokasi dan rate terkini.

Perjalanan diteruskan ke Stadium Arsenal, dengan menaiki london tube. Anda perlu mahir membaca peta london tube kerana terdapat 12 jaringan keretapi bawah tanah. Untuk ke Arsenal saya menaiki London tube ke King's Cross St. Pancras untuk menukar train ke Finsbury Park. Sepanjang perjalanan ke Stadium Arsenal terdapat banyak kedai-kedai orang arab dari berbagai negara. Saya cadangkan anda untuk terus membeli makanan di situ, kerana agak sukar mencari kedai makanan halal. Setiba di stadium Arsenal, saya puas bergambar dan singgah di kedai cenderahatinya. Anda juga boleh membuat lawatan di dalam stadium dan museum Arsenal pada kadar harga seperti di bawah:





Kemudiannya saya berpatah balik ke Finsbury Park station untuk ke Liverpool St. Tujuan saya ke sana adalah untuk membeli barangan yang di kirim oleh rakan. Di kawasan ini juga terdapat pasar pagi yang menjual pelbagai makanan dan pakaian pada harga yang murah. Saya membeli sekotak strawberi pada harga £2. Manis dan segar, cukup untuk alas perut sebagai sarapan.

Dari Liverpool St saya pergi ke London Bridge station. Saya berjalan menyusuri sungai Thames menuju ke City Hall. Dari sini anda boleh bergambar berlatar belakangkan Millenium Tower, London Bridge, Tower of London dan persekitarannya yang kaya dengan bangunan-bangunan lama yang masih indah terpelihara. Hajat dihati saya ingin menyeberangi London Bridge namun oleh kerana kepenatan, saya hanya berposing dari City Hall sahaja.

Saya teruskan perjalanan ke Waterloo Station untuk melihat London Eye. Suasana di sekitar London Eye sangat meriah di waktu petang dengan dendangan lagu-lagu dan pelbagai aksi-aksi menarik. Untuk menaiki London Eye terdapat pelbagai package yang ditawarkan bermula dari serendah £17.88 http://www.londoneye.com/TicketsAndPrices/Flights/Default.aspx. Anda juga boleh menaiki river cruise dari London Eye ke Millenium Pier berhampiran London Bridge dengan harga £12.00 seorang. Bagi saya yang mempunyai budget yang terhad, dari bawah juga saya dapat melihat House of Parliament dan Clock Tower (Big Ben) dengan jelas.

Memang benar terdapat banyak kawasan makanan halal dan masjid di sekitar kota London. Tetapi ianya tidak terdapat di kawasan tumpuan pelancong seperti di London Bridge, Waterloo, mahupun berdekatan dengan jaringan tube. Oleh itu seperti pengalaman saya di luar negara sebelum ini, wajib untuk membawa bekalan makanan seperti energy bar atau roti untuk mengalas perut. Terdapat juga panduan mengenalpasti makanan yang halal di bahagian tips keluar negara.


-London eye: Terdapat ramai golongan 'peminta sedekah' dengan gaya yang menarik-


-Kelihatan House of Parliament dan Big Ben dari London Eye-

Nantikan sambungan perjalanan saya ke Nottinghan, Manchester dan Paris.