Cuti tahun baru cina baru-baru ini saya pergi ke Kedah mengikut rombongan pengantin perempuan bertanggak di rumah pengantin lelaki. Kami berkumpul di R&R Sungai buloh dan memulakan perjalanan jam 10.30 pagi. Kesesakan jalan dengan ribuan kenderaan yang ingin pulang bercuti sangatlah teruk. Perjalanan mengambil masa 4 jam untuk sampai di R&R Tapah pada jam 2.30 ptg. Limpahan kenderaan menyebabkan ada yang parking di tepi lebuhraya dan terpaksa menapak ke R&R. Perjalanan 8 jam yang sungguh membosankan di tambah pula dengan cuaca panas terik sehingga mencecah 41C. Akhirnya kami sampai di Alor Star pada jam 7 malam.
Oleh kerana pengantin perempuan dan lelaki agak sibuk membeli persiapan ‘last minute’, kami makan malam pada jam 11.30 malam di restoran Thai seafood Alor Malai. Tidak sangka makan malam tersebut disertakan dengan perlawanan bunga api oleh penduduk setempat berlangsung hampir 1 jam. Berbeza dengan pertunjukan bunga api sempena tahun baru, perlawanan bunga api ini lebih lama dan meriah. Terdapat pelbagai jenis corak percikan bunga api yang belum pernah saya saksikan. Apa yang terdetik dihati saya, “kaya betul cina-cina di Kedah ni.”
Selesai majlis perkahwinan, seperti dirancang kami sekeluarga pergi bercuti di Langkawi. Kami bertolak dari Kuala Kedah. Tambang bagi dewasa adalah RM23, manakala kanak-kanak RM17. Oleh kerana tiada pengalaman kami beli sahaja di kaunter tiket, rupa-rupanya, syarikat yang kami beli iaitu Sun Power Ferry memang terkenal dengan kelewatan ferinya. Tiket feri jam 5 ptg tetapi feri tiba lewat 1 jam kemudian, sedangkan feri lain tiba tepat pada waktunya. Perjalanan feri mengambil masa 2 jam dan akhirnya kami sampai di Langkawi pada jam 8 malam.
Kami menetap di Haszlena homestay, rumah teres setingkat 3 bilik di taman Nilam. Tempatnya agak terpencil dengan rumah kosong/terbiar di kiri kanan. Namun begitu terdapat juga beberapa orang penghuni di deretan homestay tersebut. Menurut cerita penduduk tempatan, perumahan Taman Nilam ramai orang Burma, namun tidak pula saya menjumpainya. Dengan bayaran murah RM150 semalam, homestay tersebut sangat berbaloi untuk dilangani. Kelengkapan serba lengkap seperti rumah sendiri lengkap dengan beras, garam, gula, teh, kopi, air mineral 4 botol, cili giling, cili api, belacan, minyak masak, jajan untuk si kecil, buaian, sejadah, telekung, iron, kettle, toaster, dapur, landas cincang, set pinggan mangkuk untuk 12 org, set minuman, sabun basuh, berus kain, ubat nyamuk, aircond di bilik tidur utama, astro dll.
Hari kedua kami mulakan dengan shopping di Idaman Suri yang sememangnya berhampiran dengan homestay kami. Pada umumnya harga pinggan mangkuk berjenama adalah sama di mana-mana kedai pun. Terdapat dua kedai popular untuk membeli pinggan mangkuk berjenama iaitu Idaman Suri dan Haji Ismail Group (HIG).
Beza antara kedua kedai ini adalah:
1.Idaman Suri pemiliknya adalah India Kristian dan HIG melayu walaupun kedua-duanya mempunyai pekerja melayu kesemuanya.
2. HIG mempunyai banyak koleksi pinggan mangkuk berjenama seperti Correlle, Vission, Corning Ware, Vantage (tidak terdapat di Idaman Suri), Queen Anne (tidak terdapat di Idaman Suri) dll tetapi Idaman Suri turut menyediakan pinggan mangkuk cantik berjemana Idaman Suri yang dengar kabarnya dibuat di China.
-Periuk jenama Idaman Suri-
-Bukan Queen Anne UK, tapi buatan Brazil-
3. Sudu dan senduk di Idaman Suri memang lebih cantik tetapi lebih nipis berbanding di HIG pada harga yang sama.
4. HIG mempunyai 3 cawangan, 2 cawangan di Kuah dan satu di Jeti pada harga yang sama di semua cawangan. Sedangkan Idaman Suri hanya satu cawangan sahaja. Jika anda ingin membeli pinggan mangkuk di HIG beli sahaja di Jeti lebih mudah.
5. Jika anda hendak membeli coklat, HIG Kuah lebih mempunyai koleksi coklat yang lebih banyak.
6. Bagi barangan selain pinggan mangkuk dan periuk seperti beg, cadar dll, Idaman Suri lebih mempunyai banyak koleksi yang cantik dan boleh tahan kualitinya namun begitu anda boleh lihat kedua-duanya Idaman Suri mahupun HIG adalah barangan buatan China.
Pengalaman shopping di Langkawi pada saya kurang menyeronokkan. Barangan bebas cukai yang dijual hanya bagi barangan pinggan mangkuk, coklat, rokok (kartun pertama shj), wine (kotak pertama shj) dan perfume (pilihan terhad). Bagi suami saya yang tidak berminat dengan barang-barang tersebut sangat kecewa apabila mencari barangan elektrik dan hanya memenui kedai kecil pada harga yang sama seperti di KL. Saya membayangkan duty tax free zone yang dicanangkan sekurang-kurangnya seperti Mustafa Centre di Singapura. Walaupun kedainya agak buruk, tetapi sebut sahaja apa yang dihajati, anda pasti menemuinya pada harga yang berbaloi. Namun begitu, harga 5 barangan yang disebut terdahulu ianya lebih murah di Langkawi. Barangan-barangan lain seperti beg Polo, kasut, jaket semuanya buatan China, lebih baik shopping di Petaling Street.
-Polo buatan China-
Setelah puas shopping di Idaman Suri dan HIG, kami bertolak ke Padang Mat Sirat. Di sana terdapat Atma Alam (Batik Art Village). Bayang barangan yang dijual seperti batik, kain pelekat, minyak gamat, cenderahati pada harga yang murah.
Hari ketiga kami pergi ke Cable car pada jam 10 pagi, sayangnya perkhidmatan cable car ditutup untuk maintenance kerana overload selama 2 hari ketika cuti tahun baru cina. Sementara menunggu, kami berjalan-jalan sekitar kawasan tersebut. Tidak menghampakan, terdapat rusa, arnab, gajah yang boleh dipegang dan dinaiki. Terdapat juga tasik, bot kayuh, segway,kedai duty free the zone (tetapi lebih mahal sedit berbanding di Kuah) dan restoran dari berbagai negara. Sayangnya setelah 2 jam menunggu sekali lagi kami terpaksa menunnggu apabila angin laju sekitar 70-100km/j. Cable car tidak akan beroperasi sekiranya terdapat angin yang kuat, hujan dan petir.
Oleh kerana sudah bosan, kami berjalan pula di Perdana Quay. Seronok dapat melihat deretan kapal layar biasa dan mewah. Jika bernasib baik, anda mungkin dipelawa ownernya untuk menaiki kapal milik mereka! Di sini juga terdapat kedai The Loaf milik bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamed. Pelbagai aneka roti menggunakan ramuan yang diimport sangat menarik hati. Sayangnya roti di sini hanya dimasak pada waktu pagi sahaja, dah jika anda datang sudah tengahari, jumlah roti yang tinggal tidaklah banyak. Selama ini saya hanya melihat roti-roti sedap di luar Negara tetapi tidak berani mencuba kerana kebanyakan roti dicampur dengan wine dan whey powder supaya moist dan creamy. Dari sini saya boleh nampak cable car telah kembali beroperasi dan kami berpatah balik.
Ternyata kepenatan menunggu sangat berbaloi! Sebelum ini saya pernah menaiki cable car di Genting Highland, tetapi tidak begitu teruja seperti di sini yang lebih curam memanjat gunung. Di puncak Gunung Mat Cincang terdapat jambatan gantung yang boleh berayun apabila angin kuat dan menara yang anda boleh melihat hampir keseluruhan pulau Langkawi. Jika anda seorang yang gayat, perlu berfikir panjang sebelum naik.
Di sebelah petangnya kami pergi ke Tanjung Rhu, berbeza dengan Pantai Cenang pemandanganya lebih indah di kelilingi pulau-pulau. Pantainya juga sangat landai, ketika kami tiba jam 5 petang, air surut hinggakan anda boleh berjalan sehingga ke pulau yang berhampiran! Namun begitu cuaca panas membakar menghalang kami untuk beriadah.
Hari keempat dan hari terakhir saya berada di Langkawi. Kami akhiri dengan last minute shopping barangan seperti coklat, ikan masin, ikan bilis dll. Untuk membeli ikan masin dan ikan bilis, menurut mertua saya murah di Pasir Hitam, di sana terdapat kedai seperti R&R. Pemandangan di Pasir Hitam tidaklah berapa cantik kerana ianya tempat nelayan kecil mendarat. Berbeza dengan pantai Cenang dan Tanjung Rhu, pasirnya sememangnya hitam.
Sebelum saya bercuti di Langkawi, pada pandangan saya, “apalah yang ada dengan Langkawi selain dari shopping pinggan mangkuk, underwater world, makam mahsuri, pantai Cenang, beras terbakar…”. Tetapi apabila menaiki cable car, melawat Perdana Quay memberikan pengalaman yang berbeza. Itupun saya belum lagi ke Porto Malai, air terjun dan pulau-pulau indah di sekeliling Langkawi kerana majoriti ahli rombongan tidak berminat. Dalam hati kecil saya berbisik, padanlah ramai mat salleh di sini. Saya rasa berhutang untuk pergi sekali lagi ke sini, namun pastinya ianya lebih mencabar dan mengujakan!
1 comment:
Jom melawat Pulau Langkawi dengan pelbagai lokasi best untuk dikunjungi
65 Senarai Tempat menarik Pulau Langkawi Island
Post a Comment