Thursday, February 11, 2010

Membuat pinjaman untuk melabur di unit amanah?

Saya mempunyai sahabat yang melabur ingin melabur di unit amanah tetapi tidak mempunyai wang yang banyak. Beliau telah mengambil pinjaman peribadi bernilai RM20K untuk melabur. Saya kurang berminat dengan idea beliau. Pada saya perlaburan adalah dari duit lebihan dan bukannya dari hutang. Duit lebihan pun perlu diasingkan dari duit tabung kecemasan dengan amaun 2 atau 3 kali ganda dari gaji bulanan. Mungkin ada yang berkata, "kalau begitu sampai bila pun tiada pelaburan?". Jawapannya, anda kena betul-betul faham apa yang dimaksudkan dengan pelaburan.


Pelaburan adalah nilai bersih yang boleh dikira sebagai keuntungan. Ada pelaburan jangka pendek dan ada pelaburan jangka panjang yang nilai pelaburan pada masa singkat(2-3 bulan) negetif tetapi kemudiannya menjadi positif dan menguntungkan dan pelaburan unit amanah adalah pelaburan jangka sederhana (1-3 tahun) dan panjang(5 tahun).

Oleh kerana ianya adalah pelaburan jangka masa sederhana dan panjang, untuk mendapat keuntungan berbaloi anda perlu menunggu sehingga 2 tahun (dalam keadaan ekonomi sekarang), tetapi perlu ingat terdapat juga unit amanah yang masih di bawah harga jualan walaupun telah 2,3 tahun dilancarkan. Tips untuk membeli unit amanah (trend untuk masa kegawatan) ialah jangan membeli ketika unit amanah baru dilancarkan, biarkan ianya beroperasi setahun dan lihat prestasinya, kemudian barulah anda pertimbangkan untuk membelinya. Anda perlu tahu harga jualan ketika dilancarkan. Membeli unit amanah yang mempunyai harga lebih rendah dari harga pelancaran adalah tindakan bijak tetapi anda perlu bersabar jika unit yang dipilih itu memang lambat berkembang. Dividen hanya diberikan pada unit amanah yang telah melebih harga semasa pelancaran.

Terdapat tiga jenis profil pelaburan di unit amanah iaitu aggressive, sederhana dan pasif. Bagi anda yang takut kepada risiko, anda boleh membeli bon yang berprofil pasif, namun jangan iri hati apabila melihat rakan denga profil aggressive memperoleh keuntungan berlipat ganda. Saya seorang yang berani untuk melabur pada profil aggressive kerana pada saya unit amanah tetap menguntungkan cuma anda perlu bersabar tidak menjual ketika nilainya negetif atau keuntungan kecil. Berbanding saham anda boleh kehilangan wang pokok yang dilaburkan walaupun anda membiarkannya untuk tempoh yang lama. Silap haribulan makin lama, makin banyak duit pokok dimakan hingga habis ke akar!

Berbalik kepada kisah sahabat saya, dia membuat pinjaman peribadi RM20K untuk 7 tahun dengan nilai interest 5.6%. Sedia maklum tahun pertama dan mungkin tahun kedua adalah tahun untuk hanya membayar interest kepada bank sahaja belum lagi harga pokok RM20K. Jika pelaburan mendapat keuntungan katalah RM1000, beliau tidak boleh menganggap sebagai keuntungan kerana beliau perlu membayar interest katalah RM300 sebulan, setahun jumlahnya adalah RM3600. Ini bermakna beliau rugi RM3600 - RM1000 = RM2600 + RM20K (harga pokok hutang).

Berbanding dengan saya, saya mengeluarkan simpanan kwsp untuk tujuan yang sama. Untuk urusan pengeluaran KWSP, saya serahkan kepada ejen unit amanah saya. Saya hanya menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan. Anda tidak perlu risau akan ditipu kerana pihak KWSP akan terus menyalurkan wang anda kepada unit amanah yang diiktiraf kerajaan di atas nama anda. Anda boleh mengeluarkan akuan 1 anda dengan syarat akaun tersebut melebihi nilai simpanan asas berdasarkan umur. Kadar yang dibenarkan ialah tidak melebihi 20% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas tersebut (Sila rujuk carta di bawah) dalam tempoh setiap 3 bulan. Pihak KWSP mempunyai senarai syarikat unit amanah yang diikhtiraf kerajaan dan hanya pelaburan dalam negara yang dibenarkan.



Sebagai contoh, jika anda berusia 30 tahun dan mempunyai simpanan di akaun 1 RM30000. Simpanan yang boleh dikeluarkan ialah RM30000 - RM18000 (simpanan asas pada usia 30 tahun) = RM12000. 20% dari baki lebihan simpanan asas = 0.2 * RM12000 = RM2400 sahaja. Memang jumlahnya kecil tetapi yang penting anda membayarnya secara tunai. Sebarang keuntungan unit amanah boleh kira sebagai untung bersih.

Sedar tidak sedar, setelah dua tahun pengeluaran kini jumlah duit saya di unit amanah sudah bernilai RM20K + keuntungan secara jelas, sedangkan sahabat perlu menunggu lagi 5 tahun lagi sebelum mendapat keuntungan sebenar. Namun begitu perlu diingat, pengeluaran menerusi KWSP adalah bersifat simpanan untuk hari tua. Ini bermakna keuntungan yang diperolehi hanya di atas kertas yang hanya boleh dikeluarkan apabila sudah berusia 55 tahun. Namun ianya sangatlah berbaloi berbanding mengharapkan keuntungan KWSP yang tidak pernah melepasi keuntungan 10% (nilai keuntungan pada tahun pertama saya melabur!).

2 comments:

My2H said...

saya x jelas dgn cara tuan. kwsp boleh ker simpan dalam asb. maksudnya kita suh kwsp bayar pada asb ker.

Diana said...

bkn simpan ke ASB tp unit amanah mcm public mutual.