Wednesday, January 27, 2010

Usah bergantung pada FDI

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Usahawan dan syarikat tempatan perlu digalakkan melabur dalam negara berbanding bergantung terhadap pelaburan langsung asing (FDI), yang mungkin tidak lagi mencukupi pada masa depan.
"Masa depan bakal menyaksikan dunia yang sangat berbeza dari segi ekonomi. Kita masih bercakap mengenai FDI. Pada masa depan, FDI tidak lagi akan mengalir masuk ke sini atau mana-mana negara," kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Beliau berkata, kadar pengangguran yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) merupakan antara sebabnya: "Terdapat 10 peratus pengangguran di AS. Oleh itu, mereka mahu industri kekal di AS bagi menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan, atau akan berlaku revolusi terhadap mereka."

"Oleh itu, perbadanan dari AS tidak akan menggunakan wang untuk datang ke sini dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Selain pekerjaan, FDI sebenarnya tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada negara.
"Mereka datang bersama 10 peratus modal. Mereka meminjam wang di sini.

Mereka memulakan industri tanpa membayar cukai, dan mengaut semua keuntungan, namun jika syarikat Malaysia beroperasi di sini, mereka akan terus kekal di sini, mewujudkan pekerjaan dan membuat keuntungan yang lebih tinggi, yang akan memberi manfaat kepada seluruh negara," katanya semasa melawat I-City di sini hari ini.
Oleh itu, strategi baharu tidak sepatutnya bergantung semata-mata terhadap FDI, sebaliknya menggalakkan pelabur tempatan menjadi syarikat bertaraf dunia.

Dr. Mahathir juga berkata, rakyat Malaysia perlu dilatih dalam sains dan matematik bagi membolehkan mereka melangkah ke ekonomi berasaskan pengetahuan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan memperuntukkan dana untuk penyelidikan dan pembangunan, ia tidak diagihkan, memandangkan pihak yang bertanggungjawab terhadap dana terbabit mahukan pulangan ke atas pelaburan (ROI) dan menetapkan kolateral yang tinggi.
"Namun penyelidikan tidak mempunyai pulangan ke atas pelaburan. Suatu hari anda mungkin mencipta sesuatu yang bernilai dan anda mengaut berbilion-bilion, namun sebelum itu anda juga perlu melabur berbilion-bilion.
"Ada masa penyelidik akan menemui sesuatu yang beliau tidak tahu cara untuk mengkomersialkannya, dan di sinilah usahawan perlu menyertainya.

"(Oleh itu), anda akan berhadapan dengan masalah berinteraksi dengan kerajaan, Maafkan saya," katanya semasa ditanya bagaimana sektor swasta boleh berinteraksi dengan kerajaan dalam urusan penyelidikan dan pembangunan.
Mengenai projek, Dr. Mahathir berkata, tiada yang menjadi pembaziran jika tahu cara mengurusnya.
"Kemahiran pengurusan perlu disemai. Perlu ada keupayaan untuk melaksanakan projek, bukan sekadar bercakap mengenainya atau melancarkannya," katanya. - Bernama

No comments: